Monday, April 22, 2013

Naik pelamin

Saya berumur 37 tahun dan masih belum berkahwin. Jodoh saya masih belum sampai. Atau mungkin saya memilih. Atau mungkin saya takut akan komitmen.

Sepanjang hidup saya, ada yang pernah ajak saya kahwin/bertunang. Yang pertama, saya diajak kahwin melalui telefon. Kawan lama, tapi bukan kekasih. Saya bingung, takut dan saya katakan tidak kepadanya, bersama pelbagai alasan. Saya di luar negara ketika itu. Dan saya tidak melakukan solat istikharah kerana saya masih jahil. Bila dia berkahwin dengan orang lain, ada sedikit penyesalan. Namun saya padamkan, dan yakinkan diri dia bukan jodoh saya.

Kali kedua saya diajak kahwin (walaupun dia tak mengatakan 'kahwin' per se), saya sudah pulang ke tanahair. Juga bukan kekasih, tapi teman rapat. Juga melalui telefon. Saya minta seminggu untuk berfikir. Dia telefon semula selepas seminggu, dan saya menjawabnya dengan ketawa. Dia anggap saya main-main. Dan kemudian dia katakan sesuatu yang menyinggung perasaan saya. Dan buat kali kedua, lamaran yang saya terima tak menjadi kenyataan.

Kali ketiga saya diajak bertunang oleh kekasih. Kali ini bukan melalui telefon. Kami pergi cari cincin. Dia tunjukkan cincin kepada maknya. Saya teruja, lalu memulakan persiapan, membeli itu ini. Tapi ada tentangan keluarga, dan kesudahannya saya dapat tahu yang dia pun bukanlah orang yang baik dan setia.

Kali keempat, saya diajak berkahwin lagi. Saya setuju. Lagi sekali saya lakukan persiapan. Hingga pelamin pun sudah ditempah. Namun bak kata pepatah, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Rancangan  terhenti di tengah jalan. Barang persiapan saya simpan dalam almari dan ada daripadanya saya gunakan kerana takut usang. Kain baju pengantin saya balut dan simpan dalam laci. Tempahan pelamin saya batalkan. Tempahan dewan dan jurunikah mak saya tolong batalkan.

Saya masih menaruh harapan untuk mendirikan rumahtangga. Saya masih berdoa akan ada jodoh yang baik buat saya. Saya masih mahu hidup berkeluarga. Tapi bak kata Hetty Koes Endang, 'luka makin dalam, hati ini hancur jadi debu....aku manusia, gagal menghapus kenangan lama'. Saya jadi takut dan malu untuk memulakan langkah.

Kepada jejaka yang ingin melamar saya, jika awak baca catatan ini, percayalah, saya mahu mendirikan rumahtangga dan keluarga dengan awak. Cuma saya minta awak memahami mengapa saya begini. Mengapa saya tak bertanyakan perihal nikah kahwin. Mengapa, jika bukan awak yang membangkitkan isu ini, saya akan terus-terusan mendiamkan diri. Saya pinta, bawalah saya. Ajaklah saya. Kerana saya tak berani bersuara.